442 NELAYAN ALOR GAJAH, PORT DICKSON TERIMA SAGU HATI
TANJUNG BIDARA 20 Disember – Seramai 442 nelayan dari daerah Alor Gajah termasuk Port Dickson, Negeri Sembilan yang terkesan dengan pembangunan Kuala Linggi International Port (KLIP) menerima bayaran pampasan fasa dua berjumlah RM1.4 juta.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, nilai itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan pampasan berjumlah RM4.3 juta membabitkan tiga fasa pemberian sagu hati ex-gratia kepada nelayan laut serta darat.
Jelas beliau, jumlah itu membabitkan seramai 308 nelayan di daerah Alor Gajah dan 134 nelayan dari Port Dickson.
“Setelah memperhalusi dan menggariskan beberapa kriteria, Jabatan Perikanan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan bersetuju bahawa pemberian bayaran sagu hati ini hanya dibuat kepada penerima yang layak sahaja berdasarkan data tahun semasa.
“Untuk fasa dua menyaksikan penyerahan sebanyak RM1.4 juta membabitkan 308 nelayan dari Alor Gajah dan 134 dari Port Dickson.
“Pemberian wang sagu hati ex-gratia ini diberikan kepada nelayan yang terjejas menerusi tiga fasa iaitu pada 2023, 2024 dan 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyampaian Bayaran Sagu Hati Ex-Gratia Kepada Nelayan Terjejas Akibat Cadangan Pembangunan Pelabuhan Antarabangsa KLIP Fasa 2 di Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Pengerusi KLIP Tan Sri Datuk Seri Dr. Noormustafa Kamal Yahya.
Ab Rauf berkata, nilai bayaran sagu hati fasa kedua itu bertambah berbanding fasa pertama lalu selepas Jabatan Perikanan Negeri Melaka melakukan pemutihan pada tahun ini.
“Pada fasa dua ini ia memperlihatkan jumlah nelayan dari Alor Gajah yang menerima berkurang berbanding fasa satu dahulu tetapi nilai bayaran sagu hati yang diterima bertambah.
“Walaupun jumlah nelayan daerah Port Dickson mencatatkan pertambahan tetapi ia masih dalam kuota yang ditetapkan kerana Negeri Sembilan telah menjalankan program pemutihan sebelum 2024 di samping penambahan nelayan yang baru menerima lesen secara sah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.