44 usahawan veteran ATM terima geran niaga

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ALOR GAJAH 8 Ogos – Sebanyak RM220,000 geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) diberikan kepada 44 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Melaka.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, geran itu sebagai galakkan kepada usahawan veteran ATM untuk aktif dalam perniagaan berasaskan perkhidmatan, automotif, makanan dan pertanian.

“Saya mahu veteran ATM lebih radikal, progresif dan inovatif untuk melonjakkan perniagaan mereka selain memanfaatkan segala inisiatif disediakan kerajaan agar kekal mapan serta mampan.

“Selain itu kita turut melaksanakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) memfokuskan pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua khususnya usahawan veteran B40 untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kita turut sasarkan seramai 200 usahawan veteran ATM akan dipadankan sebagai penerima geran bagi tahun 2024. Sehingga kini 98 usahawan veteran ini telah menerima geran SPKLB dengan nilai terkumpul RM490,000,” katanya pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di Alor Gajah di sini, hari ini.

Menurut Adly, sasaran itu dipacu beberapa inisiatif yang sedang dilaksana Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) hasil kolaborasi bersama empat institusi perbankan negara.

“Institusi berkenaan adalah Agrobank, Affin Islamic Bank, Bank Muamalat Malaysia dan Bank Simpanan Nasional yang menyediakan latihan sera insentif perniagaan kepada veteran ATM.

“Menerusi PUVET ATM, veteran turut menikmati manfaat seperti pemadanan perniagaan atau ‘business matching’, akses terus kepada insentif keusahawanan seperti fasiliti.

“Selain latihan dan konsultansi dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

143
Kongsi :
Previous post Delegasi asing tunjuk minat terhadap seni, budaya Melaka
Next post JPJ laksana penggantian kamera AwAS selari perubahan teknologi
Ubah saiz-+=