Sorting by

×

422 murid ceria terima sumbangan persekolahan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ASAHAN 16 Disember – Kegembiraan jelas terpancar pada raut wajah 422 murid sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, apabila terpilih sebagai penerima sumbangan persekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sumbangan bantuan untuk anak-anak golongan B40 itu dijayakan dengan kerjasama Japerun Asahan dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

“Seperti yang sedia maklum, bantuan YPM hanya tertumpu untuk anak Melayu jadi kami di pihak Japerun Asahan bekerjasama menjayakan penyampaian sumbangan ini yang turut membabitkan murid berketurunan India, Cina dan anak-anak masyarakat Orang Asli.

“Bagi sesi penyampaian sumbangan kali ini, seramai 422 murid daripada 16 buah sekolah dalam DUN Asahan menerima sumbangan persekolah yang membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM22,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan YPM Bersama YB Adun Asahan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Toon Hua, di sini, hari ini.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, berharap bantuan diterima menyuntik semangat murid untuk kembali ke sekolah.

Jelas Fairul Nizam, pihaknya sentiasa peka dan memastikan setiap murid atau pelajar yang layak tidak keciciran daripada menerima sumbangan terutamanya daripada Kerajaan Negeri.

“Setiap tahun pihak sekolah diminta untuk memberi nama murid dan pelajar yang layak kepada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bagi menerima sumbangan.

“Untuk sesi persekolah tahun depan saya yakin TAPEM sudah mulakan gerak kerja ini, jika ada murid atau pelajar yang layak tetapi keciciran kami di pihak Japerun akan turun membantu.

“Kami mahu pastikan tiada anak-anak di DUN Asahan keciciran dalam aspek akademik akibat kurang mampu. Menerusi bantuan disalurkan Kerajaan Negeri terutamanya, tiada lagi alasan untuk anak-anak tidak ke sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1268
Kongsi :
Previous post PPSPM sasar 1 juta pengunjung sepanjang TMM2024
Next post Karnival Upin dan Ipin sasar 300,000 pengunjung
Ubah saiz-+=