416 pemandu teksi terima bantuan ‘one-off’ RM350
PERINGGIT 28 Julai – Seramai 416 pemandu teksi di negeri ini menerima bantuan khas sekali bayar atau ‘one-off’ bernilai RM350 mulai semalam.
Timbalan Yang Dipertua Gabungan Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Melaka (GPTKSM), Lokman Abdul Hadi berkata, bantuan itu wajar diberikan berikutan pendapatan mereka terjejas 100 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Untuk makluman di Melaka ada 20 persatuan yang bernaung di bawah GPTKSM melibatkan kira-kira 850 ahli termasuk bukan Islam.
“Alhamdulilah, terima kasih kepada kerajaan negeri memberikan peruntukan secara ‘one-off’ ini kepada pemandu teksi.
“Kita tahu pemandu teksi waktu ini memang terdesak dan betul-betul kritikal…mereka memang tidak beroperasi langsung masa PKP ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Agihan one-off inisiatif Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Kepada Pemandu Teksi Negeri Melaka di Melaka Sentral, hari ini.
Sementara itu, Ketua Seksyen Pembangunan Insan MAIM, Arina Saffura Alim berkata, bantuan itu membabitkan peruntukan RM145,600.
“Sumbangan bantuan ini diberikan kepada seramai 416 pemandu teksi beragama Islam yang disalurkan pihak MAIM.
“Diharap bantuan ini dapat melegakan sedikit pemandu teksi di negeri ini yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya semasa pelaksanaan PKP,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.