400,000 BENIH UDANG GALAH DILEPASKAN DI SUNGAI LINGGI
KUALA LINGGI 4 Januari – Sebanyak 400,000 benih udang galah yang dilepaskan di perairan Sungai Linggi, membuka tirai program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, hari ini.
Program sentuhan rakyat yang berlangsung selama dua minggu itu padat dengan pelbagai acara dan aktiviti yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan penduduk di setiap kawasan DUN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah berkata, benih udang galah tersebut telah dilepaskan di perairan Sungai Linggi dan Paya Lebar yang menjadi antara tarikan ekopelancongan baharu Negeri Melaka.
Menurut beliau, program itu sekali gus menjadi inisiatif penting bagi menjaga kelestarian ekosistem sungai di kawasan berkenaan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Jabatan Perikanan Negeri Melaka, di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.
“Semoga usaha ini memberikan manfaat yang berpanjangan kepada seluruh masyarakat,” katanya.
W.R.U.R DUN Kuala Linggi telah menyusun pelbagai aktiviti untuk rakyat, antaranya, perasmian denai Sungai Parit Besar yang bakal menjadi satu lokasi riadah baharu, selain gotong-royong mengindahkan DUN Kuala Linggi dengan penglibatan pemimpin, masyarakat serta agensi dan jabatan kerajaan.
Selain itu, turut diadakan pertandingan memancing kolam air masin percuma kepada 250 warga DUN Kuala Linggi terawal, ziarah kasih, pameran, program pendidikan dan TVET serta van bergerak Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah.
Acara kemuncaknya adalah pada 18 Januari, di mana akan diadakan perasmian Rumah Kahwin Kuala Sungai Baru, ‘fun walk’, kenduri rakyat serta permainan sukan tradisional seperti dam aji dan congkak.
Selain itu, turut diadakan Jualan Rahmah, Hari Bertemu Rakyat serta perasmian dewan di Sekolah Kebangsaan Othman Shawal yang akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.