40,000 SAMBUT MERDEKA DI BANDA HILIR

Masa Membaca:2 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR 31 Ogos – Dianggarkan 40,000 pengunjung terdiri daripada rakyat Melaka dan pelancong membanjiri Persiaran Jalan Merdeka, di sini, bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka.

Sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab. Aziz; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Img 20240831 115042 749
PERARAKAN kontinjen Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, walaupun keadaan cuaca hujan sejak awal pagi, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-67.

Sambutan itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dengan iringan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia, disusuli ikrar Rukun Negara dan laungan merdeka sebanyak tujuh kali.

Img 20240831 115134 469
PERARAKAN basikal klasik pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengunjung kemudiannya dihiburkan dengan nyanyian lagu tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Senandung Anak Melaka dan persembahan nyanyian, tarian serta pertunjukan seni tempur.

Selepas itu, tibalah acara yang dinanti-nantikan iaitu perbarisan dan perarakan kemerdekaan sejauh 4.8 kilometer (km) membabitkan lebih 8,000 peserta daripada 161 kontinjen.

Img 20240831 115231 286
PERSEMBAHAN daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Kontinjen itu terdiri daripada pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan, Badan Berkanun Negeri dan Persekutuan, Agensi dan Syarikat Swasta, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta, Sekolah-sekolah seluruh Negeri Melaka, kelab dan persatuan di Negeri Melaka.

Sambutan pada tahun ini juga turut diserikan dengan Pertunjukan Lintas Udara daripada Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain persembahan padang, perarakan kontinjen dan pertunjukan udara, turut diadakan perarakan bot dan jet ski di Sungai Melaka yang akan bermula dari Taman Rempah, Pengkalan Rama dan berakhir di jeti Casa Del Rio yang boleh disaksikan secara langsung.

Sambutan turut dimeriahkan dengan perarakan kenderaan masuk padang yang terdiri daripada 845 buah kenderaan membabitkan 1,734 peserta.

Img 20240831 115316 886
PERARAKAN motosikal Vespa pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Antara kenderaan terlibat adalah seperti aset tentera dan pihak berkuasa tempatan (PBT), basikal tua, motosikal berkuasa tinggi dan beca, bas elektrik Panorama, kereta mini dan klasik serta lain-lain lagi.

Buat julung kalinya tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka diadakan di lokasi baharu iaitu Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir.

Lokasi baharu dipilih kerana ia menyediakan ruang dari segi parameter keluasan yang lebih besar dengan penambahbaikan dalam kemudahan awam seperti Grand Stand Awam berkapati 1000 kerusi selain pemasangan skrin layar LED yang lebih banyak untuk keselesaan orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

855
Kongsi :
Previous post REZEKI MERDEKA PELAJAR ‘POLI’ MENANG MOTOSIKAL
Next post PERARAKAN 845 KENDERAAN, ASET PUKAU PENONTON
Ubah saiz-+=