4,000 pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Taboh Naning
TABOH NANING 24 Mei – Jemputan dari Negeri Sembilan antara pengunjung yang memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini malam tadi.
Jemputan itu adalah keluarga angkat Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu mula berkunjung di Japerun Taboh Naning sejak sambutan diadakan bermula jam 8 malam tadi.
ADUNnya, Zulkiflee Mohd Zin berkata, sambutan itu juga dihadiri kira-kira 4,000 pengunjung termasuk 100 kumpulan masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat di kawasan terbabit.
“Alhamdulillah sambutan hari ini berada di luar jangkaan saya dan bersyukur menerima sambutan dari pelbagai pihak yang hadir.
“Pada awalnya kita menjangkakan ia akan dihadiri sekitar 2,000 pengunjung bagaimanapun sambutan ini tidak putus-putus menerima kunjungan sehingga lewat malam.
“Pelbagai juadah telah disediakan membabitkan makanan tradisional termasuk lemang dan sebagainya serta lauk pauk, kuih muih dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Terdahulu rumah terbuka yang diadakan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman yang tiba di kompleks berkenaan tepat jam 8.40 malam tadi.
Program itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M Yusof serta barisan EXCO kerajaan negeri yang lain.
Program turut dihiburkan dengan dendangan dari kumpulan Santai Busker.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.