Sorting by

×

40 wartawan sambilan Melaka terima tajaan caruman Perkeso

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Oktober – Seramai 40 pengamal media sambilan di negeri ini menerima tajaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Program Perkeso Mendekati Media.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata program yang memasuki tahun kedua itu bertujuan menghargai media yang selama ini memberi kerjasama baik dengan Perkeso, selain memberi perlindungan kepada mereka sepanjang membuat liputan berita.

Katanya, caruman tersebut adalah di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang melayakkan mereka menerima faedah iaitu kos perubatan, hilang upaya sementara dan hilang upaya kekal.

“Skim bernilai RM232 seorang selama setahun itu mendapat peruntukan sebanyak 80 peratus daripada Kementerian Kewangan, manakala baki bernilai RM46 pula merupakan sumbangan peribadi kepada pengamal media yang banyak memberi bakti tanpa mengira waktu.

“Program ini merupakan jalinan tiga pihak iaitu Perkeso sebagai agensi Kerajaan, saya sebagai Exco dan media akan menjadi lebih baik dalam meningkatkan penyampaian dan aktiviti di Negeri Melaka, selain sumbangan untuk rakyat di Negeri ini.

“Tajaan khusus ini memberi jaminan untuk sepanjang tempoh setahun dan mereka dilindungi di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Perkeso Mendekati Media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Perkeso Negeri Melaka, Abd Razak Omar dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat.

Mengulas lanjut, Amir Mamat mewakili pengamal media negeri berkata, pihaknya menyambut baik tajaan daripada Perkeso memandangkan lebih 40 pengamal media berstatus sambilan di negeri ini sentiasa turun padang dan terdedah kepada risiko.

“Memasuki tahun kedua Program Perkeso Mendekati Media ini, kita melihat pentingnya caruman ini untuk jaminan diri dan keluarga pada masa hadapan.

“Hal ini kerana bekerja dalam bidang media ini memang terdedah dengan pelbagai jenis risiko, jadi dengan inisiatif Exco dan pihak Perkeso ini sangat dialu-alukan,” katanya dalam ucapan ringkas pada program terbabit.

Dalam perkembangan lain, Hee Sem memaklumkan Perkeso telah melunaskan bayaran faedah bernilai lebih RM19,729,618.83 membabitkan 6,088 kes di negeri ini bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Katanya, jumlah kes bayaran tertinggi melibatkan pencarum bagi Faedah Hilang Upaya Kekal iaitu RM8,712,220.04 juta dengan 473 kes diikuti Faedah Hilang Upaya Sementara RM8,668,262.12 (4,435 kes).

Ia diikuti Faedah Orang Tanggungan mencatatkan bayaran RM94,641 (37 kes), Pencen Ilat RM269,643 (143 kes) dan Pencen Penakat RM646,693 (327 kes) serta Faedah Pengurusan Jenazah RM1.33 juta (673 kes).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1151
Kongsi :
Previous post Laman Sebang ‘port’ riadah baharu
Next post Karnival Kerjaya SMIX2023 tawar 5,920 peluang pekerjaan
Ubah saiz-+=