40 sukarelawan Paramedik Komuniti ditempatkan pada Sambutan Peristiwa Pengisytiharan Kemerdekaan
JASIN, 19 Februari – Seramai 40 sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka akan ditempatkan di empat ‘checkpoint’ sempena Sambutan Peristiwa Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang akan berlangsung di Banda Hilir malam esok.
Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abd Azis berkata ia bagi memastikan acara bersejarah sempena memperingati peristiwa 20 Feb 1956 itu berjalan lancar.
“Setiap pasukan paramedik berkenaan akan melibatkan 10 orang dalam satu pasukan diketuai seorang doktor selain turut dilengkapi peralatan paramedik dan ambulans bagi memberi bantuan sekiranya ada pengunjung yang memerlukan perkhidmatan kecemasan ketika sambutan berlangsung.
“Mereka telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kerana sambutan itu akan dihadiri ramai pengunjung termasuk pelancong dalam dan luar negara bagi menyaksikan acara yang dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas program Khatan Beramai-ramai peringkat negeri yang disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh di sini hari ini.
Dalam pada itu, Siti Faizah berkata program khatan itu disertai 40 kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun dalam kalangan anak asnaf dan yatim yang diberikan secara percuma.
Selain itu, turut diadakan penyampaian bantuan awal persekolahan berupa kelengkapan pakaian kepada 50 pelajar kurang berkemampuan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.