
40 KAWAH DODOL SEMARAK SUASANA SYAWAL DI MELAKA
BANDA HILIR 29 Mac – Bagi memeriahkan 10 malam terakhir Ramadan, Kerajaan Negeri menganjurkan program yang amat unik iaitu memasak 40 kawah dodol secara bergotong-royong.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia diadakan menerusi program Mega Kacau Dodol Raya 2025, sekali gus menghidupkan semula amalan tradisi setiap kali menjelang Syawal.
Katanya, program itu juga pada masa yang sama menjadi simbol perpaduan dan kebersamaan rakyat Melaka.
“Diadakan di Bazar Ikonik Banda Hilir, acara ini menarik perhatian ramai pengunjung yang berpeluang melihat sendiri proses pembuatan dodol secara tradisional dan menikmati juadah istimewa ini secara percuma.
“Dodol yang dimasak dengan semangat gotong-royong ini diagihkan kepada orang ramai sebagai tanda kesyukuran dan keceriaan menyambut bulan Syawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Mega Kacau Dodol Raya 2025 di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, malam tadi.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad.
Menurut Ab Rauf, program itu bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan dan menjelang Syawal, malah ia juga antara usaha memperkukuhkan hubungan antara masyarakat dengan agensi dan jabatan kerajaan serta Pihak Berkuasa Tempatan.
“Para pengunjung yang berbuka puasa di bazar turut merasai kemeriahan suasana apabila dapat melihat sendiri bagaimana keunikan warisan makanan tradisional seperti dodol dikongsi bersama.
“Menerusi program ini kita juga dapat meraikan semua agensi-agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan untuk bersama datang ke bazar ikonik ini.
“Melalui acara ini, Melaka sekali lagi membuktikan keunikan dan keistimewaannya sebagai negeri yang kaya dengan tradisi dan budaya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.