40 asnaf Pengkalan Batu terima zakat
PENGKALAN BATU 3 November – Raut wajah ceria jelas terpancar buat kira-kira 40 asnaf dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu apabila terpilih menerima sumbangan zakat.
Kesemua mereka termasuk anak yatim dan ibu tunggal terpilih menerusi program Penyerahan Zakat TM Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya berbesar hati apabila TM Melaka sudi memilih kawasannya untuk berkongsi kegembiraan dengan mengagihkan sumbangan zakat bagi membantu meringankan beban.
“Untuk program ini kita menerima RM4,000 daripada TM Melaka untuk diserahkan kepada golongan asnaf yang terpilih ini.
“Diharap dengan bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam kehidupan harian dan memberi kegembiraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Zakat TM Melaka yang turut dihadiri Pengurus Besar TM Melaka Datuk Rozlan Mohamed, di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, semalam.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, pada masa hadapan, diharap akan lebih banyak syarikat swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tampil membantu rakyat yang betul-betul memerlukan.
Sementara itu, Rozlan berkata, menerusi wakalah diterima TM Melaka menerusi pembayaran zakat yang dibayar, pihaknya merangka beberapa program bagi menyalurkan wang itu kepada asnaf.
“Pada ramadan lalu sebanyak tujuh program kita sudah laksanakan dan daripada baki yang masih ada kita akan agihkan semua pada tahun ini dengan mengadakan program sebegini di beberapa DUN lagi.
“Kebiasaan kita akan berikan kepada setiap DUN yang terlibat sebanyak RM4,000 dan disumbangkan kepada golongan asnaf memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.