40 anak yatim ceria terima sumbangan Aidilfitri
AYER KEROH 26 April. – Seramai 40 anak yatim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas ceria menikmati juadah berbuka puasa dan menerima sumbangan Aidilfitri semalam.
Mereka yang berusia antara tiga hingga 16 tahun teruja dan gembira diberikan peluang oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Unit Amal Trader (UAT) untuk menikmati pelbagai jenis makanan dan menerima sumbangan itu di sebuah hotel di sini.
Selain pengasas UAT, Muhammad Siratal Mustaqim Hamzah, 36, dan empat anggota kumpulan itu, turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka, Norhelmy Abdul Halim; Ketua Penerangan PAS Bahagian Kota Melaka, Azmi Abdul Aziz dan pihak yang mengumpulkan anak yatim terbabit, Mohd Nazri Abdul Aziz.
Muhammad Siratal Mustaqim berkata, anak yatim terbabit tinggal di beberapa kampung seperti Ujong Pasir, Telok Mas, Padang Temu, Pernu dan Tambak Sembelong.
“Mereka tidak tinggal di mana-mana institusi, sebaliknya tinggal bersama ibu atau ayah atau saudara-mara yang menjaga mereka selepas kematian ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali.
“Kami amat teruja berpeluang menggembirakan mereka sambil menikmati hidangan dan menerima sumbangan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Bagi Mohd Aqhil Ilham Irwan, 11, dari Kampung Ujong Pasir, peluang menghadiri program itu bukan setakat menggembirakannya, malah berasa dikasihi oleh insan lain yang tiada pertalian persaudaraan dengannya.
“Arwah bapa, Allahyarham Irwan Borhan meninggal dunia kerana serangan jantung beberapa tahun lalu dan sejak itu, ibu, Idah Suzana Salim yang membesarkan saya,” katanya.
Kasih Eriana Maisarah Zulkifli, 13, berkata dia tidak pernah menikmati kasih ayah kerana arwah bapanya, Zulkifli Karim meninggal dunia ketika dia berusia dua bulan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membawa saya dan anak yatim lain untuk berbuka puasa dan menerima sumbangan Aidilfitri,” katanya.
Nordiayana Md Dali, 34, berkata dia menyanjung tinggi kesudian UAT memilih anaknya, Norfaqehah Mohd Shukri yang berusia empat tahun menghadiri program berkenaan.
“Arwah suami meninggal dunia akibat sakit barah tiroid pada 2017 dan sejak itu saya membesarkan anak saya bersendirian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.