Sorting by

×

4 STRATEGI PACU MELAKA JADI NEGERI CONTOH

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 29 April – Kerajaan Negeri menggariskan empat strategi dalam memacu Melaka terus ke hadapan dan menjadi negeri contoh yang berdaya tahan serta berdaya saing.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, strategi pertama adalah kerjasama strategik dengan pelabur dalam dan luar negara, berasaskan nilai dan impak kepada rakyat.

Menurut beliau, fokus turut diberi kepada pelaksanaan projek pembangunan yang bersifat ‘rakyat-centric’, termasuk perumahan mampu milik, naik taraf prasarana serta penyelesaian isu air dan banjir.

“Tumpuan seterusnya adalah terhadap aspek pendidikan dan TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional), selain transformasi digital melalui Kampung Digital dan pendekatan Melaka Hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Bilik Tun Mutahir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Dalam pada itu, Ab Rauf menzahirkan harapan agar persidangan kali ini bukan sekadar menjadi pentas perbahasan, bahkan titik mula kepada pelaksanaan tekad dan iltizam bersama.

“Marilah kita bergerak seiring ke arah menjadikan Melaka sebagai negeri contoh yang berdaya tahan, berdaya cipta dan berdaya saing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post 4,000 LAMPU SOLAR BAKAL TERANGI MELAKA
Next post SAMB LAKSANA KERJA GANTIAN PAIP USANG DI SUNGAI UDANG