4 PBT MELAKA CAPAI STATUS MAMPAN
AYER KEROH 12 Disember – Kesemua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka telah mencapai status mampan menerusi Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets 2.0).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, konsep bandar mampan adalah keperluan mendesak dalam usaha mewujudkan kehidupan lebih sejahtera kepada rakyat.
Katanya, empat PBT tersebut adalah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
“Kerajaan Negeri menzahirkan rasa bangga apabila MPHTJ dan MBMB berjaya diiktiraf antara 10 Bandar Mampan Terbaik di Malaysia.
“Tahniah juga kepada MPHTJ yang mendapat Penarafan Bandar Pintar Tahap 1: Smart City Early Adopter 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2024 Peringkat Negeri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk TPr. Dr. Alias Rameli serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.