4 hospital swasta Melaka setuju rawat pesakit COVID-19
AYER KEROH 29 Jan. – Empat hospital swasta di negeri ini bersetuju membantu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka untuk merawat pesakit COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, hospital terbabit ialah Hospital Pantai Ayer Keroh, Hospital Pakar Putra Melaka, Mahkota Medical Centre dan Oriental Melaka Straits Medical Centre.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang dalam usaha menyiapkan kaedah dan proses yang sesuai seperti kos rawatan dan latihan untuk membantu hospital swasta itu sebelum dibuka bagi pesakit COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, ujarnya, sebagai langkah kontingensi sekiranya pesakit COVID-19 terlalu ramai di Hospital Melaka, pesakit bukan COVID-19 di negeri ini akan dipindahkan ke Hospital Alor Gajah dan Jasin.
“Itu merupakan antara pelan sokongan bagi menangani peningkatan pesakit COVID-19 di negeri ini. Tetapi buat masa ini Hospital Melaka yang berfungsi sebagai hospital hybrid COVID-19 belum berdepan masalah lagi.
“Ini kerana kesemua pesakit COVID-19 berisiko rendah telah kita tempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan PKRC Kolej Kejururawatan Melaka, selain ada juga yang menjalani pengasingan dan pemantauan di rumah bagi pesakit kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (gejala ringan),” katanya.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, sehingga kini seramai 3,617 petugas kesihatan yang turut merangkumi sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan dan pelbagai agensi lain telah digerakkan di Melaka sejak tahun lalu bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dan beban kerja menguruskan pesakit COVID-19.
Bagi menangani situasi petugas kesihatan yang keletihan dan terjejas emosi, KKM turut mengambil inisiatif menubuhkan Talian Sokongan Psikososial di peringkat negeri dan pusat serta bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan NGO dalam menganjurkan aktiviti ini.
“Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial turut digerakkan ke hospital serta fasiliti kesihatan untuk menyediakan Pertolongan Cemas Psikologi kepada petugas kesihatan dan barisan hadapan yang memerlukan,” katanya lagi.
Pada masa sama, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka kini sedang mengenalpasti NGO serta sukarelawan bagi membantu proses vaksinisasi yang dijangka akan bermula pada bulan depan.