Sorting by

×

4.8 TAN MAKANAN DISELAMATKAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Inisiatif menyelamatkan lebihan makanan menerusi program MySave Food (MSF) menunjukkan impak positif dengan lebih 4.8 tan makanan berjaya diselamatkan di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed berkata, jumlah itu direkodkan bermula awal Ramadan sehingga 16 Mac lalu.

“Jumlah ini merupakan sebahagian daripada 60.7 tan lebihan makanan yang dikumpulkan dari 149 bazar Ramadan di seluruh negara, dengan nilai dianggarkan sekitar RM726,000.

“Kami menjangkakan jumlah makanan yang dapat diselamatkan tahun ini akan menyamai atau melebihi jumlah tahun lalu.

“Di Melaka sahaja dalam tempoh beberapa hari, kami sudah berjaya menyelamatkan 4.8 tan makanan daripada dilupuskan di tapak pelupusan dan selebihnya diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelaksanaan Program My Save Food Negeri Melaka di Bazar Ramadan MITC, di sini, semalam.

Beliau menegaskan bahawa usaha itu bukan sahaja mengurangkan pembaziran makanan, tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat memerlukan terutama golongan kurang berkemampuan.

“Kami berharap lebih banyak peniaga bazar, NGO serta orang ramai akan turut serta dalam inisiatif ini.

“Komitmen daripada pelbagai pihak amat penting untuk memastikan lebihan makanan tidak terbuang begitu sahaja,” katanya.

Menurut beliau, dengan pencapaian memberangsangkan di Melaka, SWCorp optimis bahawa lebih banyak makanan dapat diselamatkan di negeri-negeri lain.

“Jika banyak lebihan makanan dapat diselamatkan, maka kita akan dapat mengurangkan jumlah sisa makanan yang semakin meningkat sepanjang Ramadan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post BOLEH MOHON SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI SURAU, PADANG AWAM
Next post ‘PERANG’ DODOL PANTAI KUNDOR