Sinar buat industri pelancongan – BPP

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 3 Sept – Kira-kira 300 pemilik hotel di negeri ini boleh menarik nafas lega selepas negeri ini diumum beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP)Jabatan Ketua Menteri Melaka, Saari Basiron berkata, ini kerana pengusaha hotel akan dibenarkan beroperasi dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita harapkan ini memberi sedikit kelegaan kepada industri pelancongan khususnya pihak hotel untuk menerima pelanggan.

“Saya rasa kebanyakan kita dah letih sangat duduk terkurung dalam rumah, inilah masanya untuk kita lepaskan tekanan dan ambil peluang ini.

“Kita mesti sedar yang kita masih berada dalam suasana PPN, tapi disebabkan kita dalam Fasa 2, jadi ada sedikit kelonggaran,” katanya.

Beliau ditemui selepas Cabutan Bertuah Bulanan Pertama Kempen Vax & Win di Lobi Seri Negeri, hari ini yang disempurnakan Exco Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Menurutnya, BPP juga akan memastikan setiap pengusaha hotel dapat memberi jaminan bahawa semua pekerjanya lengkap divaksinasi sebelum beroperasi.

“Seperti disebut oleh Datuk Muhammad Jailani, langkah BPP seterusnya adalah untuk memastikan pekerja premis hotel benar-benar telah divaksinasi.

“Dalam tempoh Fasa 2 ini, kita akan memberi pengikhtirafan seperti (pemasangan) kain rentang di premis hotel dan lencana butang kepada pekerja hotel yang telah lengkap divaksinasi.

“Tindakan ini akan memberi gambaran kepada pelanggan bahawa tahap kesihatan pekerja sesebuah hotel berada pada tahap optimum dan meyakinkan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan hotel terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan lain Saari berkata, kempen Melakan Visit Melaka 3.0 yang dilancarkan pada Mac lalu terpaksa dihentikan sementara waktu disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insya-Allah, kita akan mengaktifkan semula kempen Melakan Visit Melaka 3.0 dalam waktu terdekat ini.

“Kita harapkan bila kita beralih ke Fasa 3, sektor-sektor lain dibenarkan beroperasi, kita akan mula menawarkan potongan pakej pelancongan sebanyak 50 peratus kepada orang Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1186
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir Yan dan Merbok dikecualikan bayaran ganti lesen kenderaan dan memandu
Next post Gadis Myanmar dipenjara 18 bulan guna pasport individu lain dapatkan vaksin
Ubah saiz-+=