388 atlet karate Asia berentap di MITC bermula hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Malaysia mempertaruhkan seramai 16 atlet untuk mencabar kejuaraan pada Kejohanan Karate Asia ke-19 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, bermula hari ini hingga Ahad.

Antara atlet negara yang menjadi pertaruhan seperti Zakiah Adnan (kumite wanita 61 kg), Muhammad Arif Afifudin (kumite lelaki 81 kg), Syahirah Amirah Azlan (kumite wanita 68kg), C. Shahmalarani (kumite Wanita 50kg) dan Muhammad Aiqal Asmadie (kata lelaki).

Secara keseluruhan, 388 atlet karate akan beraksi pada kejohanan itu membabitkan pembabitan 32 buah negara.

Juara tahun lalu Jepun menjadi pasukan pilihan apabila mempertaruhkan 23 atlet pada kejohanan edisi ke-19 ini.

Pasukan itu menjadi pilihan utama berdasarkan kejayaan muncul juara keseluruhan kejohanan yang sama di Uzbekistan, Disember tahun lalu apabila meraih lapan emas, dua perak dan tiga gangsa.

Jordan yang juga pencabar utama pula mempertaruhkan 11 atlet karate diikuti Kazakhstan dengan 19 atlet terbaik mereka.

Tumpuan pada kejohanan kali ini sudah pasti terarah kepada tiga atlet iaitu Kakeru Nishiyama dari Jepun, Assel Kanay (Kazakhstan) dan Abdel Rahman Almasatfa (Jordan) dalam mempertahankan pingat emas yang mereka menangi dalam acara masing-masing pada edisi lalu.

Sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing dan enam kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, Kejohanan Para Karate Asia Edisi ke-2 juga akan berlangsung serentak sempena Kejohanan Karate Asia itu.

Lebih menarik majlis perasmian kejohanan ini akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadual tiba pada jam 4 petang ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1282
Kongsi :
Previous post Pelajar SMK Bukit Rambai gegar lapangan golf
Next post Agih 300 pek daging korban bantu asnaf Melaka
Ubah saiz-+=