Sorting by

×

386 pemohon layak terima bantuan IPR

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 1 Ogos – Seramai 386 pemohon dalam kalangan miskin tegar di Negeri Melaka layak menerima bantuan tiga model rintis di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Tiga model rintis berkenaan adalah, Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), Inisiatif Usahawan Tani (Intan) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan) bagi menumpukan usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan serta menambah pendapatan rakyat.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, berdasarkan pecahan kategori, pemohon yang layak menerima IPR di Daerah Alor Gajah adalah seramai 94 orang dengan 24 pemohon menerima bantuan Intan manakala 24 lagi menerusi Insan dan 22 lagi menerusi Ikhsan.

Katanya, bagi Daerah Jasin, seramai 81 pemohon layak menerima IPR, yang mana kategori Intan merekodkan seramai 33 orang, Insan (30) dan Ikhsan (18).

“Bagi Daerah Melaka Tengah, seramai 211 pemohon layak menerima bantuan IPR dan berdasarkan pecahan itu, seramai 53 daripadanya layak menerima inisiatif Intan, Insan (104) manakala Ikhsan (54),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) pada Persidangan Kedua, Penggalan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang ke-15, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata menerusi program pendapatan rakyat itu, kerajaan menyasarkan pemohon memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi membolehkan mereka keluar dari garis kemiskinan.

“Jika dilihat cara permohonan IPR ini, ia nampak seolah-olah ‘long-winded’ (panjang berjela) namun pemohon perlu mengisi borang di laman web IPR bagi membolehkan permohonan itu dihantar ke K-ekonomi untuk disaring dan jika berjaya permohonan dihantar semula ke negeri masing-masing serta disaring pejabat daerah masing-masing.

“Setelah kajian dan penglibatan saya sendiri, sekurang-kurangnya mengambil masa enam bulan barulah selesai untuk mendapat bantuan itu.

“Untuk pengethauan, kita membentuk jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan jawatankuasa itu akan melantik beberapa agensi di bawah saya untuk memperkukuhkan sistem IPR di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1832
Kongsi :
Previous post 9,976 petugas kesihatan berkhidmat di Melaka
Next post 23,448 bilik tampung pelancong sepanjang TMM2024
Ubah saiz-+=