Sorting by

×

3,797 polis ‘berkawal’ di 217 pusat mengundi esok

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 19 Nov- Seramai 3,797 pegawai dan anggota termasuk 1,250 anggota dari Bukit Aman akan dimobilisasikan di semua 217 pusat mengundi di seluruh Melaka.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata pihak polis memberi jaminan proses pengundian akan berjalan lancar di semua pusat mengundi dengan 1,109 saluran itu.

Katanya, penguatkuasaan ketat di pusat-pusat mengundi akan diberi tumpuan terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan awam selain penugasan pasukan pemantau di media sosial.

“Bagi pihak polis Melaka saya ingin maklumkan bahawa keluarlah beramai-ramai menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam suasana demokrasi ini kerana saya pasti tidak akan ada sebarang gangguan.

“Jangan fikir sepanjang PRN ini terdapat gangguan sehingga tidak mahu keluar mengundi dan kami beri jaminan bahawa proses pilihan raya ini terjamin dan selamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, pihak polis bagaimanapun memberi amaran tegas dan mengambil tindakan segera kepada mana-mana individu yang cuba membuat provokasi sepanjang hari pengundian.

Jelasnya, sepanjang tempoh berkempen ini juga, terdapat empat kes khianat dilaporkan melibatkan parti-parti politik yang melibatkan dua kes di daerah Alor Gajah, satu kes di Jasin dan satu kes di Melaka Tengah.

“Bagi kes di Jasin pengadu dapati cermin ‘sliding door’ ada kesan kotor dipercayai kesan dibaling telur mentah di bilik gerakan Barisan Nasional (BN), manakala di Melaka Tengah melibatkan kes mengoyakkan kain rentang parti Perikatan Nasional (PN).

“Manakala di Alor Gajah pula kedua-dua kes adalah berkaitan tindakan sabotaj mencabut bendera-bendera parti politik,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memohon kerjasama pengundi supaya mematuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas di lapangan bagi memastikan tiada kesesakan lalu lintas dan proses pengundian berjalan lancar tanpa provokasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

600
Kongsi :
Previous post Melaka catat penurunan tujuh peratus kes baharu COVID-19
Next post Najib tolak tawaran ‘hadiah’ RM100 juta
Ubah saiz-+=