Sorting by

×

3,768 tapak gerai Pasar dan Bazar Ramadan diluluskan MBMB

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 1 April. – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) semalam meluluskan permohonan 3,768 tapak bagi keseluruhan gerai pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, keseluruhannya sebanyak 26 permohonan bagi penganjuran Pasar Ramadan dan 12 Bazar Aidilfitri diterima pihaknya sempena Ramadan kali ini dengan pecahan 2,427 dan 1,251 gerai, masing-masing.

Katanya keseluruhan kawasan yang diluluskan itu membabitkan lokasi dalam 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penetapan waktu operasi bermula 3 petang hingga 8 malam bagi Pasar Ramadan dan 10 pagi hingga 12 tengah malam bagi Bazar Aidilfitri.

“Penganjuran kali ini menerima sambutan yang menggalakkan dalam kalangan peniaga, bagaimanapun penganjur dan peniaga hendaklah memberi kerjasama yang baik terutama memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan kemas serta pemantauan rapi dilakukan di lokasi-lokasi penganjuran yang diluluskan.

“Lokasi penganjuran yang lebih banyak tahun ini diadakan sebagai inisiatif kepada orang ramai agar tidak tertumpu pada sesebuah lokasi yang ditetapkan, malah ia seiring dengan hasrat kerajaan negeri dalam memperkasakan Dasar Bebas Berniaga sepanjang pasca penularan pandemik COVID-19,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada masa sama, menurutnya prosedur operasi standard (SOP) disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diperketatkan terutama membabitkan kedudukan gerai, waktu operasi perniagaan serta jumlah peniaga dan pengunjung.

“Untuk itu satu Taklimat Pematuhan SOP Penganjuran Pasar dan Bazar Ramadan Tahun 2021 akan diadakan di MBMB pada esok bagi menjelaskan lagi peranan penganjur sepanjang tempoh penganjuran pasar dan bazar Ramadan.

“Bagaimanapun mengikut situasi semasa, MBMB menggalakkan pelaksanaan konsep perniagaan dalam talian atau pembukaan gerai sedia ada atau penjaja seperti dilaksanakan tahun lalu bagi mengambil kira faktor yang boleh mengelakkan penularan virus COVID-19,” katanya.

Untuk rekod, Bazar Ramadan di Dataran Klebang adalah yang terbesar di negeri ini dengan 284 tapak gerai diluluskan MBMB, diikuti 172 tapak gerai di Taman Seri Telok Mas dan 160 tapak di Jalan Hang Tuah.

Bagi lokasi Pasar Ramadan di Taman Seri Cempaka dan Pasar Besar MBMB, Jalan Tun Fatimah turut mencatatkan sambutan tertinggi dengan 200 tapak gerai diluluskan diikuti lima lokasi dengan 150 tapak di Taman Murni, Balai Panjang, Taman Bertam Perdana, tapak pasar malam Jalan SD 11, Taman Seri Duyong, Taman Peringgit dan HSM 6892 PT.23778 Lot Baru 31723 Mukim Bukit Katil.

Selain itu, keseluruhan Pasar Ramadan yang diluluskan itu juga membabitkan Kampung Lapan (50 tapak), Taman Telok Mas (40 tapak), Pt. 427 Lebuh AMJ, Kg. Penggalam Renggam (30), Taman Semabok Perdana (120), Tapak Pasar Malam Semabok (Medan Selera Semabok)(30), Kampung Sungai Udang (80), Taman Terendak Permai (80), Taman Tangga Batu (50), Pantai Puteri (37), Taman Rambai Jaya (120), Taman Rambai Utama (100), Taman Tanjung Minyak (100), Taman Cheng Perdana (100), Krubong (40), Tapak Pasar Malam Paya Ikan (60), Kampung Musai, Bukit Katil (100), Taman Desa Molek (30), Taman Paya Dalam (30) dan di lokasi berdekatan Pasar Batang 3, Klebang (80).

Bagi keseluruhan Bazar Aidilfitri pula adalah di Dataran Pahlawan Melaka (60 tapak), Dataran Muara Sungai Melaka (30), Padang Dataran Pahlawan (30), Tapak Parkir Pasaraya Tesco (55), Tapak Parkir Taman Lagenda (50), Taman Seri Duyong (150), Parkir SPA City Mall, Paya Rumput (130) dan Stadium Hang Jebat (100).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

996
Kongsi :
Previous post RTM Melaka terus relevan di hati rakyat – Ketua Menteri
Next post Muhyiddin adakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak
Ubah saiz-+=