37 lokasi aktif tapak sampah haram akan ditutup pada Mac – SWCorp

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 10 Febuari – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka akan menutup kesemua 37 lokasi aktif tapak pembuangan sampah haram di Melaka pada Mac ini.

Pengarah SWCorp negeri, Khairul Adha Mutalib berkata pihaknya mensasarkan sehingga 8 Mac depan, Melaka akan menuju sifar lokasi aktif pembuangan sampah haram.

katanya, akses laluan keluar masuk kesemua lokasi akan ditutup dan pemantauan lebih kerap akan dilaksanakan.

“Antara lokasi panas tapak pembuangan sampah haram yang masih aktif di Melaka seperti di Kawasan Perindustrian Krubong, Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Tanjung Minyak, Taman Sutera Wangi dan pelbagai lokasi ‘hotspot’ mengikut lokaliti pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Baru-baru ini kita telah mengambil tindakan kepada pihak yang membuang sampah di tapak haram dan pihak terbabit telah pun didakwa serta dijatuhkan hukuman denda RM15,000 di Mahkamah Melaka.

“Kita juga mengesan berlaku pengurangan lokasi aktif tapak pembuangan sampah haram dari 58 lokasi pada tahun lalu, kepada 37 lokasi pada tahun ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

adha
Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Khairul Adha berkata pengurangan lokasi aktif tapak haram itu disebabkan pemantauan yang kerap oleh pihaknya dan pemasangan pita kuning serta ‘banner’ amaran di semua lokasi.

Katanya, meskipun berlaku pengurangan, pihaknya turut mengesan lokasi transit tapak haram, namun kebanyakan lokasi transit itu berjaya ditutup selepas dibersihkan.

“Kita juga mengesan pihak-pihak tertentu cuba untuk membuka lokasi tapak pembuangan sampah haram yang baharu atau lokasi transit, namun dapat dipatahkan dengan tindakan awal pihak SWCorp yang membuat pemantauan secara kerap.

“Dan kebanyakan lokasi tapak haram yang ditutup dikesan tidak berulang dijadikan lokasi membuang sampah.

“Perkara ini mampu dicapai selepas pelbagai program dan kempen dilakukan untuk memberi pendedahan kepada penduduk mengenai kesan dan akibat membuang sampah di lokasi tapak haram,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1721
Kongsi :
Previous post Longkang Limbongan penuh sampah diselenggara seminggu sekali – SWCorp
Next post Hotel MITC tawar Menu Rahmah RM5
Ubah saiz-+=