37 koleksi kenderaan klasik Diraja Johor jadi tarikan di MITC
AYER KEROH 15 Jun – Sebanyak 37 aset kenderaan klasik Diraja Johor menjadi antara tarikan pada pameran khas di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor itu diadakan bersempena Malaysia Bike Week Melaka 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 Jun.
Pameran khas kenderaan klasik yang mempunyai nilai sejarah tidak ternilai itu diadakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Sultan Johor.
Antara koleksi yang menjadi tumpuan adalah seperti Mack Truck Scorpion, Morgan 3 Wheeler dan HD Street Glide Tiger.
Selain itu, pengunjung juga tertarik dengan koleksi dua buah kereta Proton Saga edisi pertama negara dengan nombor plat Proton 1 dan Proton 2.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan ke pameran khas berkenaan bersempena Majlis Perasmian Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024, hari ini.
Tun Dr. Mohd Ali diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.