340 petugas haji ke Arab Saudi jayakan Operasi Haji 2022
SEPANG, 30 Mei – Seramai 340 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi ibadah haji pada tahun ini, kata Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata petugas haji yang dipilih pada tahun ini terdiri daripada mereka berpengalaman tinggi, kerana jumlah mereka pada tahun ini adalah kurang berbanding sebelumnya.
“Jumlah petugas haji sebelum ini adalah 650 orang, tetapi kali ini hanya 340 orang sahaja. Oleh itu kita pilih mereka yang berpengalaman dan boleh bertugas di Makkah dan Madinah.
“Memang kita pilih yang boleh ‘multitasking’ dan mampu digerakkan ke mana-mana lokasi mengikut keperluan semasa,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan petugas haji ke tanah suci di sini hari ini.
Syed Saleh berkata seramai 84 petugas haji yang terdiri daripada petugas perubatan, kebajikan dan media, berlepas ke tanah suci hari ini melalui penerbangan Malaysia Airlines pada pukul 3.10 petang ini.
“Mereka ini adalah kumpulan kedua petugas haji yang berlepas ke tanah suci, sebelum ini 13 petugas telah pergi untuk membuat persiapan.
“Semua petugas telah membuat persiapan rapi bagi memberikan perkhidmatan dan kemudahan kepada jemaah haji, petugas beri komitmen terbaik,” katanya.
Ditanya cabaran ibadah haji tahun ini, beliau berkata petugas dan jemaah haji perlu bersedia dengan undang-undang baru diperkenalkan kerajaan Arab Saudi, seperti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19.
Sementara itu, petugas media Zalina Maizan Engah @ Ngah yang menyertai operasi ibadah haji di bawah TH berkata beliau teruja kerana terpilih menjalankan tanggungjawab membuat liputan di tanah suci Makkah.
“Syukur pihak pengurusan beri kepercayaan untuk buat liputan perjalanan haji tahun ini… memang tidak sangka terpilih dan pemeriksaan kesihatan untuk pergi haji memang ketat,” kata editor tugasan Bernama TV berusia 46 tahun itu.
Ibu kepada empat anak berusia 18 hingga tujuh tahun itu berkata beliau akan berusaha melaporkan suasana ibadah haji pada tahun ini dengan sebaik mungkin, supaya dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia.
“Untuk ubat rindu mereka yang tidak dapat mengerjakan haji, saya akan berikan laporan santai di media sosial, radio dan penulisan,” katanya.
Petugas perubatan Rosmawi Ismail, 47, berkata pihaknya akan membuka sebuah pusat rawatan khas di Makkah, bagi membantu jemaah haji yang memerlukan rawatan.
“Pembukaan pusat rawatan itu memang prosedur biasa untuk bantu jemaah haji, harapnya operasi haji tahun ini berjalan lancar,” katanya petugas farmasi dari Kementerian Kesihatan itu.
Pada 24 Mei lepas, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia pada tahun ini dijangka pada 4 Jun ini.
Idris pada 21 April lepas mengumumkan kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.
Kuota sebanyak 14,306 itu ialah penurunan daripada 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.