34 permohonan taska di pelbagai kementerian, kerajaan negeri diluluskan
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Sebanyak 34 permohonan penubuhan taska di pelbagai kementerian dan pejabat setiausaha kerajaan negeri dengan nilai RM5.5 juta telah diluluskan manakala 11 lagi permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Beliau berkata kelulusan itu adalah daripada 45 permohonan yang diterima sehingga tempoh permohonan berakhir pada 30 Jun lepas.
“Antara yang telah diluluskan adalah taska baharu di Kementerian Kesihatan dengan 16 buah, Kementerian Pendidikan (10), Kementerian Pengajian Tinggi (dua) dan Kementerian Belia dan Sukan (satu), Jabatan Perdana Menteri (satu), kerajaan negeri Terengganu (dua), kerajaan negeri Pahang (satu) dan Kelantan (satu),” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) yang bertanyakan butiran geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam sebanyak RM30 juta menerusi Belanjawan 2020 serta usaha untuk mengutamakan petugas barisan hadapan seperti di hospital.
Siti Zailah berkata sebanyak 38 buah taska di hospital seluruh negara telah beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 699 anak petugas barisan hadapan telah mendapat manfaat itu.
Selain itu, beliau berkata pelbagai inisiatif diperuntukkan termasuk bantuan khas taska bagi meringankan beban pengusaha taska untuk memulakan operasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, hasil tambahan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
“Daripada peruntukan RM30 juta, permohonan kos hanya melibatkan RM5.5 juta. Baki daripada peruntukan ini kita telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk disalurkan kepada pengusaha taska.
“…Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM35 juta (baki daripada RM24.5 juta dicampur dengan tambahan daripada Kementerian Kewangan) yang diberi dalam bentuk bantuan khas taska di bawah PENJANA untuk membantu pengusaha taska,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Yeoh mengenai baki dana peruntukan itu,
— BERNAMA