Sorting by

×

34 mangsa banjir dipindahkan di Sabah malam ini

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KOTA KINABALU, 6 Jan – Sebanyak 34 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Bakalau dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun di Beufort, sehingga 9 malam ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah dalam kenyataan malam ini memaklumkan mangsa yang terlibat terdiri daripada 15 wanita dewasa, kanak-kanak lelaki (10), kanak-kanak perempuan (tujuh) dan dua lelaki dewasa.

PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun adalah satu-satunya PPS yang dibuka setakat ini.

Sebanyak 45 buah kampung di daerah Beufort terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat sejak petang semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan berasingan memaklumkan PPS berkenaan dibuka kerana penduduk Kampung Bakalau meminta dipindahkan kerana bimbang kawasan tempat tinggal mereka tidak selamat.

APM memaklumkan sebanyak 19 jalan di daerah Beufort terputus hubungan akibat banjir antaranya Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata dan Jalan Kampung Lawa.

Selain itu, lima sekolah turut terjejas iaitu Sekolah Agama Negeri Limbawang, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Suasa, SK Bangkalalak dan SK Jabang.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beufort Abdul Imam Basirun ketika dihubungi pemberita berkata agensi terlibat khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di PPS bagi mencegah penularan COVID-19.

“Sebelum masuk penduduk diperiksa dan kalau ada yang bergejala, mereka tidak akan ditempatkan di PPS, kakitangan KKM sudah bersedia membuat pemantauan di sana. Penduduk tidak perlu bimbang berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.-BERNAMA

Views:

641
Kongsi :
Previous post i-Sinar: KWSP lulus 2.5 juta permohonan
Next post Ini kenyataan penuh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 6 Januari 2021
Ubah saiz-+=