32 pasukan berentap dalam saingan Liga Melaka 2024

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PAYA RUMPUT 8 Jun – Sebanyak 32 pasukan bakal berentap pada saingan Liga Melaka 2024 bermula 15 Jun ini.

Saingan itu membabitkan pasukan-pasukan di bawah Kelab-Kelab Gabungan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) yang terbahagi kepada tiga divisyen.

Pengerusi Liga Melaka, Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, saingan Divisyen 1 menampilkan sebanyak 10 pasukan yang akan bermain secara liga dengan sehingga penentuan juara dengan mata tertinggi.

Jelasnya, ia diikuti Divisyen 2 dengan 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B, manakala Divisyen 3 menggunakan format yang sama seperti Divisyen 2 dengan aksi 10 pasukan melibatkan Kumpulan A dan B.

“Padang 10 Wisma MAFA kekal sebagai venue perlawanan bagi saingan Divisyen 2 dan 3.

“Bagi perlawanan-perlawanan Divisyen 1 akan diadakan di beberapa stadium dan padang terpilih sekitar Melaka dengan setiap pasukan akan mengharungi sembilan perlawanan sehinga penghujung liga dan Juara Divisyen 1 Liga Melaka 2024 layak beraksi di saingan A2 Liga Bolasepak Amatur (AFL) pada musim seterusnya,” katanya.

Terdahulu, perasmian Liga Melaka 2024 telah disempurnakan Setiausaha Agung MAFA, Datuk Karim Yaakob yang mewakili Timbalan Presiden Datuk Mohd Saiful Mat Sapri di Bilik Media, Stadium Hang Jebat, hari ini.

Khairi yang juga Naib Presiden MAFA memaklumkan, badan induk bola sepak Melaka itu turut melancarkan ‘T-Shirt Polo 100 Tahun MAFA’ dengan cetakan warna hitam dan emas yang boleh ditempah peminat bola sepak di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post Terapi minda di Laman Tiga Budaya
Next post Duta pelancongan Fan Bingbing bawa impak positif untuk Melaka
Ubah saiz-+=