Sorting by

×

30,000 SERBU MUZIUM MELAKA SEMPENA AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 24 April – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) merekodkan lebih 30,000 pengunjung mengunjungi muzium-muzium di Melaka sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, jumlah tersebut direkodkan melalui 21 muzium di bawah seliaan perbadanan itu bermula 1 Syawal hingga 20 April lalu.

“Peningkatan ini menunjukkan sambutan luar biasa daripada pelancong tempatan mahupun luar negara yang memilih Melaka sebagai destinasi bersejarah ketika cuti perayaan.

“Daripada semua muzium, Muzium Samudera kekal sebagai lokasi paling popular dalam kalangan pengunjung, diikuti Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka yang terus menarik perhatian pelancong dengan keunikan seni bina dan nilai sejarahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Sambutan Hari Raya PERZIM dan Melaka World Heritage Office Sdn Bhd yang diadakan di perkarangan Pejabat Pentadbiran PERZIM, Jalan Kota, di sini, semalam.

6071358533061952378
ERNE (berdiri, tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya PERZIM dan Melaka World Heritage Office Sdn Bhd. Foto Iqmal Haqim Rosman

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Timbalan Pengerusi PERZIM Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut Erne berkata, PERZIM kini sedang melaksanakan beberapa usaha penambahbaikan demi keselesaan pengunjung ke muzium-muzium di negeri ini.

“Insya-Allah, tahun ini kita akan memberi fokus kepada lima muzium dahulu untuk kerja-kerja menaik taraf dari segi infrastruktur dan fasiliti.

“Antara yang terlibat ialah Galeri Seni Rakyat, Kompleks Hang Tuah dan Muzium Rakyat, selain pejabat pentadbiran PERZIM sendiri yang turut melalui proses transformasi ini.

“Langkah ini selaras dengan misi kami untuk memperkukuh pengalaman pelawat serta menjadikan muzium bukan sekadar tempat penyimpanan artifak, tetapi juga destinasi yang hidup dan interaktif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1601
Kongsi :
Previous post MELAKA LONJAK POTENSI PELAJAR PENDIDIKAN KHAS
Next post BLACK, HATTAN ‘GEGAU’ RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN SUNGAI UDANG