30,000 rakyat Melaka rai sambutan ambang merdeka
AYER KEROH 31 Ogos – Kira-kira 30,000 pengunjung membanjiri Dataran Sejarah Ayer Keroh bagi meraikan sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Melala, malam tadi.
Program bermula seawal jam 6 petang disertai masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa bagi bersama-sama menantikan detik 12 malam 31 Ogos.
Sebaik bermula, sambutan tersebut diwarnai dengan pelbagai pengisian antaranya program berbentuk kerohanian, selain gerai jualan untuk pengunjung.
Acara kemuncak ialah sebaik ketibaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama barisan Exco Kerajaan Negeri dan tetamu kehormat sekitar jam 10.15 malam.
Ketibaan beliau turut diiringi dengan paluan gendang 24 musim dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Bin.
Malam ambang merdeka ke-66 kali ini diteruskan dengan pelbagai persembahan kebudayaan daripada tiga kaum utama di negara ini terdiri membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Antaranya, deklamasi sajak daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Tarian Kebudayaan India daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kubu serta Tarian Sireh Pinang dan Tari Tualang Tiga oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Air Molek.
Turut mewarnai malam bersejarah itu ialah persembahan nyanyian artis popular Aishah atau nama sebenarnya Datuk Wan Aishah Wan Ariffin yang mendedangkan beberapa lagu patriotik.
Program disusuli dengan Amanat Kemerdekaan oleh Ab Rauf sebelum kiraan detik Ambang Kemerdekaan diiringi nyanyian lagu patriotik dengan kibaran Jalur Gemilang.
Malam tersebut turut diwarnai dengan pertunjukan bunga api.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.