3,000 ‘berkubang’ di bendang Gadek
GADEK 26 Jun – Sawah di Kampung Gadek hari ini dibanjiri kira-kira 3,000 orang yang memeriahkan program Fiesta Bendang Gadek yang menyaksikan anggota komuniti ‘kembali berkubang dalam sawah.’
Aktiviti berkubang seperti menangkap ikan dalam sawah yang suatu ketika dahulu sinonim dengan kehidupan anggota masyarakat kampung kini kian dilupakan berikutan pemodenan dalam sistem kehidupan masyarakat luar bandar.
Bagaimanapun, hari ini aktiviti berkenaan mekar kembali dengan dilengkapi pelbagai acara lain yang semuanya diadakan dalam sawah.
Selain acara mengoca (menangkap ikan) dalam bendang atau sawah, program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka itu turut dihiasi dengan acara memancing bonda (parit), memasak lauk-pauk kampung, ragbi sawah, panjat tiang licin, bola beracun dan pukul bantal.
Program itu dirasmikan EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, P Shanmugam. Yang turut hadir, Pengarah KBS negeri, Khairul Adri Rosli.
Dalam acara mengoca ikan, kira-kira 50 peserta lelaki dan 30 wanita tidak melepaskan peluang meraba ikan dalam petak sawah untuk menangkapnya tanpa menggunakan sebarang alat.
Acara memancing bonda pula menyaksikan lelaki dan wanita bersaing untuk mendapatkan pelbagai jenis ikan, terutama keli dan puyu yang memang sedia ada dalam parit.
Ragbi sawah mempamerkan ketangkasan anak muda berlari dalam sawah untuk merebut bola sambil berkubang dalam lumpur.
Selain itu, orang ramai ceria dan terhibur menyaksikan aksi peserta pukul bantal yang duduk di atas batang pokok pinang berusaha menewaskan lawan masing-masing.
Jika acara kabadi lazimnya dimainkan kaum India di atas pasir, kali ini mereka bermain dalam lumpur sawah yang menguji ketangkasan menangkap dan menewaskan lawan.
Shanmugam ketika ditemui selepas perasmian berkata, program berkenaan tidak diadakan pada tahun 2020 dan 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
“Program ini mampu menarik anak muda supaya jangan leka dengan gajet (peranti) kerana alat itu menyebabkan generasi muda tidak bercampur dengan anggota masyarakat.
“Kita mahu generasi muda dan dewasa berkomunikasi sesama anggota masyarakat, beramah mesra dan saling hormat-menghormati,” katanya.
“Beliau berkata, kelekaan anggota komuniti menggunakan telefon pintar dibimbangi menyebabkan hubungan baik masyarakat pelbagai kaum terjejas akibat kurangnya komunikasi dan pergaulan dalam masyarakat moden sekarang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.