3,000 berarak imbau memori pengisytiharan kemerdekaan, 20 Februari ini
TELOK MAS 4 Februari – Seramai 3,000 peserta dijangka akan menyertai perarakan bagi memperingati sambutan Hari Pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, perarakan itu akan diadakan di dataran Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan, Banda Hilir menerusi pengkisahan semula detik dan peristiwa penting yang berlaku pada 20 Februari 1956.
Jelas beliau, ia termasuklah mengimbas semula ketibaan rombongan diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi pengumuman tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
Menariknya, beliau berkata, perarakan itu akan turut menampilkan penggunaan kereta antik yang digunakan Bapa Kemerdekaan Negara itu.
“20 Februari ini adalah Hari Terbuka buat pelancong dan rakyat Negeri Melaka di mana selain menawarkan pelbagai kemasukan percuma di mana-mana lokasi pelancongan kita juga akan menyambut dan mengimbau kembali detik bersejarah ini.
“Kita akan membuat penceritaan semula di mana perarakan ini akan diadakan di sepanjang jalan di Dataran Pahlawan sehingga ke Memorial Pengisyhtiharan Kemerdekaan dengan persembahan-persembahan yang mengimbau kembali peristiwa penting pada ketika itu.
“Kita menyasarkan sambutan ini akan dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung bersempena cuti umum itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program SWM Kasih Misi Sampul Merah di Japerun Telok Mas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Eksekutif Operasi SWM Environment Melaka, Muhammad Nazrul Zulkefli; Setiausaha UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz serta tetamu lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.