300 SKUAD IHSAN MADANI DIKERAH KE NEGERI TERJEJAS BANJIR
AYER KEROH 6 Disember – Kira-kira 300 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) digerakkan menerusi Skuad Ihsan MADANI KPDN ke negeri terjejas banjir khususnya di pantai timur.
Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, skuad ini digerakkan sebagai usaha dalam mempergiatkan pembabitan penjawat awam sebagai sukarelawan banjir.
“Penjawat awam ini turun ke lapangan, kawasan terjejas banjir bukan sahaja untuk menyampaikan sumbangan tetapi terlibat dalam misi pasca banjir.
“Skuad Ihsan MADANI KPDN ini melibatkan semua pegawai yang baru selesai menamatkan latihan baru-baru ini, iaitu seramai 238 orang, bersama mereka adalah wakil daripada bahagian yang ada di KPDN. Kesemua mereka akan digerakkan mengikut penjadualan yang sudah disusun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2024 Zon Selatan yang berlangsung di Dataran Ayer Keroh, di sini, malam ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama timbalan beliau, Tuminah Kadi @Mohd Hashim serta Pengarah KPDN negeri Norena Jaafar.
Menurut Armizan, kesemua sukarelawan ini berada di negeri-negeri terlibat sehingga selesai Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka pada Mac depan.
“Sukarelawan ini sudah digerakkan ke Kelantan, mereka membantu dalam proses pasca banjir selain akan bersandarkan kepada keperluan yang diperlukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.