300 peserta sahut saranan amalan hidup sihat
TANJUNG BIDARA 13 Julai – Lebih 300 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menyahut saranan untuk membudayakan amalan hidup sihat dengan menyertai program ‘funwalk’ sejauh lima kilometer melalui beberapa lokasi tumpuan pelancong di kawasan itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, aktiviti itu adalah pengisian bagi Majlis Perasmian Program Desa Cerdas (PDC) Komuniti MADANI Negeri Melaka Tahun 2024, anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Katanya, program itu turut dijayakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan
Keselamatan Kampung (JPKK) Komuniti MADANI di bawah seliaan Jabatan Penerangan
Negeri Melaka iaitu JPKK Padang Kemunting, JPKK Pengkalan Balak, JPKK Ayer Hitam
Darat dan penduduk Taman Idaman Jaya.
“Objektif penganjuran Program Desa Cerdas ini adalah sebagai galakan kelangsungan budaya
hidup sihat, aktif dan cergas dalam kalangan komuniti, misalnya menerusi acara Funwalk. Semua ini
membentuk komuniti MADANI Negeri Melaka khususnya di Masjid Tanah ini untuk mempunyai pemikiran yang cerdas.
“Selain itu Program Desa Cerdas ini turut menekankan aspek kesedaran dan pemerkasaan komuniti luar bandar terhadap pembentukan gaya hidup sihat serta kehidupan luar bandar yang sejahtera,” kata Ketua Menteri ketika berucap merasmikan majlis itu di perkarangan Balai Raya Kampung Padang Kemunting, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Beliau yang diiringi jemputan termasuk Pengarah KEMAS Negeri Melaka Asri Saleh, kemudian melepaskan peserta funwalk pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.
Menurutnya Ketua Menteri, PDC dirangka selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk membawa perkhidmatan sosial terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.