30 peserta timba ilmu asas sembelihan halal

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BUKIT PALAH 21 Julai – Seramai 30 peserta menyertai Kursus Asas Sembelihan Siri 1 di Masjid Al Azim, di sini, hari ini.

Kursus julung kali itu merupakan anjuran Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurut Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora, kursus selama dua hari itu mengajar peserta mengenai teori dan pelaksanaan asas sembelihan haiwan berkaki dua dengan yuran penyertaan RM250 seorang.

“Kursus ini melibatkan enam modul yang diajar kepada peserta secara teori dan satu praktikal iaitu dengan menyembelih ayam.

“Kursus ini merupakan usaha kita dalam menyebar luas penyembelihan secara halal yang dituntut dalam Islam kepada masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan kursus berkenaan.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIM, Khairul Jannah Abdullah serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Prof. Dr. Mohd Taib berkata, kesemua peserta akan dipanggil untuk tujuan temuduga sebelum menerima pentauliahan daripada JAIM.

“Pihak UNIMEL hanya mengeluarkan sijil penyertaan sahaja, namun pihak JAIM akan memberikan pentauliahan selepas semua peserta melepasi sesi temuduga pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

“Menggunakan pentauliahan itu, peserta boleh meminta kerja sebagai penyembelih di mana-mana badan berkanun dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

259
Kongsi :
Previous post Henti sebar poster tidak rasmi atlet Malaysia ke Olimpik Paris 2024
Next post Semai rasa cinta pada busana klasik
Ubah saiz-+=