30 peratus peniaga cari peluang saat akhir
JASIN 11 Mei. – Kira-kira 30 peratus peniaga masih mencari peluang berniaga di saat akhir di Pasar Ramadan disediakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dikuat kuasakan bermula esok di seluruh negara.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Datin Sapiah Haron berkata, tinjauannya setakat semalam mendapati hanya segelintir peniaga Bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya masih berniaga.
“Penurunan operasi peniaga ini adalah trend tahunan Bazar Ramadan di sini disebabkan pada hari-hari akhir sebelum Aidilfitri peniaga sudah tidak berniaga bagi melakukan persiapan ditambah pula dengan PKP.
“Setakat ini tiada sebarang aduan diterima pihak kami berkaitan penganjuran ini kerana dipercayai mereka akur dengan arahan kerajaan yang bukan saja di Melaka, malah seluruh negara ,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Menurut Sapiah, sembilan lokasi Bazar Ramadan di Jasin tahun tinggi menerima sambutan hebat pengunjung pada awal Ramadan dan menurun 50 peratus selepas peningkatan mendadak kes COVID-19 negeri termasuk kewujudan Kluster Sebatu baru-baru ini.
Katanya, MPJ sudah mengarahkan semua peniaga dan penganjur Bazar Ramadan di Jasin menamatkan operasinya bermula malam ini.
“Sebaik menerima arahan dari Majlis Keselamatan Negara kami memaklumkan kepada mereka bahawa kerja penutupan dan pembersihan tapak bazar perlu dilakukan malam ini dan tiada sebarang aktiviti dibenarkan esok,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.