30 lagi nelayan sedang dinilai untuk dapatkan rumah
KUALA LINGGI 14 Mac – Seramai 30 lagi nelayan sedang menunggu proses tapisan sama ada layak atau sebaliknya menjadi pembeli rumah di Perkampungan Nelayan Negeri Melaka di Kuala Sungai Baru, di sini.
Mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan 60 nelayan yang bakal menghuni 60 unit rumah jenis separuh berkembar yang bernilai RM45,000 seunit di kawasan itu.
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka, Rosli Mustapa berkata, setakat ini seramai 30 nelayan sudah lulus temuduga untuk mendapatkan pinjaman membeli rumah berkenaan baru-baru ini.
Beliau berkata, temuduga itu dijalankan pegawai Agrobank bagi memastikan hanya mereka yang layak diberikan peluang untuk memiliki rumah berkenaan.
“Ada 60 unit rumah sudah siap sepenuhnya beberapa tahun lalu tetapi belum dihuni setakat ini.
“Setakat ini 30 peserta yang ditemuduga bagi sesi pertama sudah lulus manakala baki 30 lagi sedang diproses,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, hanya selepas semua peserta disahkan sebagai pembeli yang layak dan rumah berkenaan selesai menjalani proses pembaikan, ia akan dihuni, dijangkakan selewat-lewatnya dua bulan lagi.
Katanya, kerja pembaikan 30 rumah yang rosak akibat vandalisme dimulakan baru-baru ini dan dijangka siap menjelang hujung April ini.
Sementara itu, nelayan Nordin Abu Samah, 46, berkata beliau menghadiri temuduga itu bulan lalu tetapi gagal kerana sudah memiliki rumah.
“Pegawai Agrobank memaklumkan, hanya nelayan yang belum memiliki rumah diberikan pertimbangan untuk memiliki rumah itu,” katanya.
Semalam EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dilaporkan berkata, kerajaan negeri terpaksa membelanjakan RM700,000 bagi membaik pulih kira-kira 30 rumah berkenaan akibat vandalisme.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.