30 kios baharu MPAG lebih tersusun, mesra peniaga
ALOR GAJAH 18 Mei – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) melalui peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan sebanyak 30 kios perniagaan baharu yang lebih tersusun dan sistematik.
Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kios berkeluasan 9×8 kaki itu ditempatkan di empat lokasi tumpuan iaitu Sungai Tuang, Bandar Alor Gajah, Pusat Ekopelancongan Paya Lebar dan Taman Rekreasi Durian Daun.
Jelasnya, tapak perniagaan baharu itu secara tidak langsung dapat membantu peniaga kecil meningkatkan peluang ekonomi menerusi jualan pelbagai jenis makanan dan minuman.
Selain itu, katanya, kios itu juga memberi satu imej baharu kepada peniaga bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang merupakan tahun penting dalam menggamit kehadiran pelancong dan pengunjung.
“Kadar sewa yang dikenakan bagi kios baharu ini adalah sebanyak RM60 sebulan dan kita memberikan peluang istimewa dengan pengecualian sewa selama enam bulan kepada para peniaga.
“Bagaimanapun setiap kios yang diterima tidak boleh ‘sublet’ atau disewakan kepada orang lain yang mana ia tertakluk kepada syarat-syarat sewaan dan perlesenan ditetapkan MPAG.
“Operasi di setiap kawasan ini telah pun dilaksanakan bermula April lalu dan ia akan dibuka secara berperingkat sehingga Jun depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pembukaan kios itu juga secara tidak langsung dapat menyeragamkan operasi perniagaan di kawasan tumpuan pelancong dalam daerah Alor Gajah.
“Setakat ini kita tempatkan 14 buah kios di Sungai Tuang dan enam di Bandar Alor Gajah di mana kesemuanya telah mula beroperasi sejak 1 April lalu.
“Sebanyak lima lagi kios ditempatkan di Pusat Ekopelancongan Paya Lebar dengan status kesemua pemohon sedang mendapatkan kelulusan pembayaran, manakala lima lagi di Taman Rekreasi Durian Daun pula pemohon sedang menerima surat tawaran baharu dari MPAG dan dijangka akan beroperasi pada 1 Jun ini,“ katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.