Sorting by

×

3 PUSINGAN ‘U’ BERTINGKAT DARI PULAU GADONG KE CHENG

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KLEBANG 23 Oktober – Sebanyak tiga pusingan U bertingkat dijangka akan dibina di sepanjang Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dari Pulau Gadong hingga ke Cheng bagi membantu penyuraian trafik di negeri ini.

Ia susulan pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, baru-baru ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pengumuman itu nyata memberi nikmat dan limpahan kepada rakyat kerana laluan itu merupakan laluan utama di Negeri Melaka.

“Ini merupakan satu kemudahan yang amat besar kepada rakyat di mana ia dapat memberi lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Buat masa ini kita sedang menunggu perincian mengenai spesifikasi projek berkenaan, namun kita mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi selain Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana merealisasikan projek untuk rakyat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Peringkat Parlimen Tangga Batu di Japerun Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Adun Pantai Kundor yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhammad.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput turut berterima kasih di atas berita gembira pembinaan Balai Polis Tanjung Minyak yang turut terangkum dalam Belanjawan 2025.

Jelas beliau, balai polis baharu merupakan antara aku janji yang diperjuangkannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu dan ia bakal direalisasikan.

“DUN Paya Rumput mempunyai penduduk seramai lebih 91,000, jadi dengan hanya kekuatan 18 anggota polis sebelum ini, ia tidak mencukupi. Jadi, saya berterima kasih kepada kerajaan kerana merealisasikan pembinaan balai polis baharu ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3602
Kongsi :
Previous post ‘SANDBAG’ KURANGKAN RISIKO HAKISAN PANTAI PUTERI
Next post SCOOT ‘TOUCHDOWN’ DI MELAKA
Ubah saiz-+=