3 ‘pit stop’ tarikan Eco-Cruise Sungai Linggi
AYER LIMAU 1 Ogos – Sungai Linggi yang menjadi pemisah di antara Melaka dan Negeri Sembilan merupakan sebuah lokasi ekopelancongan baharu berimpak tinggi dengan memfokuskan rahsia keindahan flora dan fauna di negeri ini.
Lokasi terletak di Utara Melaka itu menawarkan pelbagai peluang kepada pelancong menerokai sungai yang diberi gelaran ‘Mini Amazon Melaka’ terutama melihat santuari buaya yang terdapat disitu.
Sejak diperkenalkan awal tahun lalu, perkhidmatan Eco-Cruise Sungai Linggi yang dikendalikan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu mendapat perhatian ribuan pelancong yang tidak akan melepaskan peluang menikmati keindahan Sungai Linggi.
Dengan pakej menarik ditawarkan, pengunjung dapat menikmati beberapa tarikan menarik yang disediakan.
SABAK ARANG
Bermula daripada kaunter tiket di Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, Eco Cruise Sungai Linggi akan membawa pelancong menikmati keindahan flora dan fauna sebelum singgah di Sabak Arang.
Sabak Arang adalah lokasi perusahaan kayu arang diperbuat daripada kayu bakau dihasilkan di sungai itu merupakan antara tarikan yang terdapat di Sungai Linggi.
Berusia lebih 100 tahun, kayu arang yang dihasilkan menerima permintaan pelbagai negara sehinggakan ia diiktiraf kayu arang terbaik di Asia Tenggara.
Pelancong akan diberi pendedahan oleh pengusahanya, Md Derus Maluddin, 80, dan berpeluang melihat sendiri proses pembuatan arang menggunakan sabak tertua itu yang diusahakannya sejak hampir 50 tahun yang lalu.
TAMAN LOKAN
Kira-kira 20 minit dari Sabak Arang, lokasi persinggahan kedua adalah Taman Lokan di mana ia merupakan sebuah lokasi yang diusahakan sendiri penduduk, Zainal Md Ali, sebagai pusat pemeliharaan spesies lokan yang menjadi habitat di sungai tersebut.
Selain pemuliharaan lokan, taman itu juga turut mendedahkan pelancong berkaitan penternakan udang galah selain menawarkan pakej perkhemahan.
Taman itu juga telah dibangunkan dengan sebuah restoran terapung yang memberi peluang pelancong menikmati keenakan menu autentik hasil tangkapan nelayan di Sungai Linggi seperti rendang lokan, udang galah serta pelbagai lagi.
KOTA SIMPANG
Dalam pakej yang ditawarkan, pelancong juga diberi peluang untuk mengunjungi sebuah kota lama dipanggil Kota Simpang yang menyimpan 1,001 sejarah sejak zaman penjajahan Belanda suatu ketika dahulu.
Jika ‘bernasib baik’ pelancong berpeluang melihat sendiri kehadiran ‘sang bedal’ yang dikatakan berehat di pesisir Sungai Linggi sementara menelusuri perjalanan dari Taman Lokan ke Kota Simpang.
Kota Simpang yang menjadi simpang pemisah antara Sungai Linggi dan Sungai Rembau banyak menyimpan sejarah yang dahulunya dikatakan sebagai pusat tahanan dan tempat pemungutan cukai hasil dagangan seperti bijih timah yang dibawa keluar dari Sungai Linggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.