3 lelaki dipenjara lapan bulan, denda RM1,000 cederakan guru tahfiz
Majistret Siti Aisyah Ahmad juga memerintahkan Wan Haris Wan Ismail, 38, dan Azraen Che Mat Noor, 43, kedua-duanya bekerja sebagai jurukimpal serta buruh Zulkifli Mohd Nasir, 27, menjelaskan denda RM1,000 atau penjara enam bulan, jika gagal berbuat demikian.
Semua mereka yang beralamat di Jerantut dekat sini mengaku bersalah mencederakan Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, pada 5.10 petang, 11 Ogos lepas di surau Pusat Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-dunya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh didakwa memukul Muhammad Zulhafiz selepas menceroboh pusat tahfiz itu, menyebabkan mangsa mengalami cedera di mata kanan sehingga perlu dijahit.
Pada prosiding itu, peguam Fariha Nuzuruhan merayu mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda paling minimum atas alasan semua tertuduh berpendapatan sekitar RM1,500 dan RM2,000, menanggung keluarga serta telah insaf dengan perbuatan mereka.
Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam supaya tidak bertindak sewenang-wenangnya dan menghormati institusi pendidikan serta tenaga pengajar.
“Kes ini juga telah tular sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Tertuduh bertiga telah memukul seorang tenaga pengajar dan mangsa tidak melawan, sebaliknya membiarkan dirinya dipukul beberapa kali selain kecederaan itu meninggalkan parut kekal,” katanya.
Di mahkamah sama, semua tertuduh bersama dua lagi Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, kedua-duanya bekerja kampung, mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh pusat tahfiz itu dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Suzuki Dmax pada masa dan hari yang sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Siti Aisyah memerintahkan semua tertuduh dipenjarakan selama 10 bulan dan denda RM2,000 atau jika gagal penjara enam bulan.
Semua hukuman penjara diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu antara 12 dan 13 Ogos lepas .
Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif pada prosiding itu memohon hukuman yang dapat menunjukkan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh sehingga menyebabkan trauma terhadap pelajar pusat tahfiz itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.