Sorting by

×

3 Divisyen ATM utamakan pegawai dan anggota tentera terlibat Op Penawar dan Op Benteng

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SUNGAI UDANG 9 Mac – Seramai 5,234 pegawai dan anggota tentera Markas 3 Divisyen di empat negeri iaitu Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang menerima suntikan vaksin COVID-19 secara berperingkat bermula hari ini.

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, lebih 600 pegawai dan anggota tentera daripada jumlah keseluruhan itu adalah mereka yang terlibat dalam Op Benteng dan Op Penawar di Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Katanya, kumpulan berkenaan adalah petugas barisan hadapan yang terbabit dengan operasi persempadanan negara dan sekatan jalan raya di Melaka, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

“Kita beri keutamaan kepada petugas barisan hadapan yang berhadapan dengan orang awam yang terlibat dengan Op Penawar dan Op Benteng iaitu pegawai dan anggota yang terlibat di sekatan jalan raya (SJR) dan kawasan persempadanan.

“Pada masa sama turut diberi keutamaan adalah pasukan strategik termasuk pasukan Briged 10 Para serta pasukan Grup Gerak Khas (GGK) supaya mereka ini terlindung daripada penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (INSAN) di Kem Terendak, di sini, hari ini.

Seramai 66 pegawai dan anggota tentera dari unit tersebut menerima suntikan di kem berkenaan hari ini.

Turut menerima suntikan vaksin ialah Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Hospital Angkatan Tentera (HAT), Kem Terendak merupakan satu daripada dua Pusat Simpanan Vaksin (PSV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala satu lagi membabitkan HAT Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Katanya, terdapat 13 pusat pemberian vaksin (PPV) ATM di empat negeri berkenaan yang mana PPV tersebut akan mengambil bekalan vaksin daripada HAT, Kem Terendak.

“Tiga belas PPV ini membabitkan dua di Melaka, empat di Negeri Sembilan, Johor (4) dan Pahang (3).

“Suntikan vaksin di 13 PPV ini bukan hanya melibatkan anggota tentera darat sebaliknya turut melibatkan tiga perkhidmatan lain iaitu TLDM, Tentera Udara Diraja (TUDM) serta Markas Angkatan Bersama di Kuatan, Pahang, yang berada di bawah pentadbiran 3 Divisyen,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2950
Kongsi :
Previous post Sejam sesat di Bukit Beruang
Next post 95 peratus usahawan MAFI aktif
Ubah saiz-+=