3 DENAI SUNGAI JADI PUSAT RIADAH BAHARU DI MELAKA
KUALA LINGGI 6 Januari – Sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi pelaksanaan tiga projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Negeri Melaka pada 2024.
Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, denai itu dibangunkan bagi tujuan riadah untuk rakyat, selain ia juga berfungsi untuk mengatasi masalah banjir.
Katanya, pembinaan denai itu membabitkan dua di daerah Melaka Tengah iaitu di DSK Malim berhampiran Pintu Air Klebang dan DSK Sungai Jeram bersebelahan Stadium Hang Jebat, manakala satu lagi dibangunkan di daerah Alor Gajah iaitu bertempat di DSK Parit Besar bersebelahan Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
“Peruntukan pembinaan ketiga-tiga DSK ini adalah daripada Kerajaan Persekutuan dan projek ini dimulakan pada September 2024 dan ia berjaya disiapkan penghujung tahun lalu.
“Untuk DSK Parit Besar di Kuala Sungai Baru ini ia membabitkan laluan sepanjang kira-kira 600 meter dan bakal menjadi kawasan riadah bukan sahaja pelajar UNIMEL tetapi penduduk setempat.
“Pembinaan DSK ini juga selain bertujuan memastikan sungai berada dalam keadaan baik, ia juga membantu mengurangkan risiko banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Denai Parit Besar @Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah JPS negeri, Ir. Ts. Dr. Muhamad Khairudin Khalil dan Naib Canselor UNIMEL, Prof Datuk Dr. Abdul Khalil Shawkataly.
Sementara itu, Dr. Muhamad Khairuddin berkata, pembinaan DSK itu bakal diperluaskan ke tiga lagi lokasi lain sebaik kelulusan peruntukan tahun 2025 diluluskan.
“Menerusi perancangan kita, dijangkakan akan ada tiga lagi projek DSK akan berjalan pada tahun ini dan kita masih menunggu kelulusan peruntukan.
“Kita akan mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi pembinaan tiga lagi DSK ini namun bergantung kepada kelulusan bajet,” katanya.
Jelasnya, selain dapat mengatasi masalah banjir, impak daripada pembinaan denai itu juga dapat bantu meningkatkan kualiti air di sungai terlibat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.