292,104 sudah terima vaksin COVID-19- Dr Adham
KUALA LUMPUR 14 Mac. – Memasuki hari ke-19 pelaksanaan Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula sejak 23 Februari
lalu, seramai 292,104 individu telah menerima suntikan dos
pertama vaksin di seluruh negara setakat semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan tiga
negeri mencatatkan jumlah tertinggi individu yang menerima dos
pertama vaksin iaitu Selangor (35,620), Perak (31,675) dan
Sarawak (30,634).
“Pecahan mengikut negeri lain masing-masing ialah Kuala Lumpur
(28,244); Pahang (25,128); Sabah (24,042); Johor (21,835);
Kedah (17,114); Pulau Pinang (16,255); Kelantan (15,339);
Terengganu (13,070); Negeri Sembilan (12,209); Melaka (7,963);
Perlis (6,807) dan Labuan (2,342),” katanya dalam satu
infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari
ini.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh
pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula
Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota
barisan hadapan negara termasuk petugas kesihatan.
Ia akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka April hingga
Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun
ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain
orang kelainan upaya.
Sementara fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari
2022 untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas
dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.