![Whatsapp Image 2025 02 10 At 1.27.41 Pm](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-10-at-1.27.41-PM.jpeg?v=1739167188)
29 USAHAWAN ZAKAT MAIM TERIMA GERAN RM350,000
BUKIT PALAH 10 Februari – Sejumlah RM350,000 diperuntukkan kepada 29 usahawan bimbingan Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Program Tunas Perintis Usahawan MAIM-SME Corp.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program anjuran MAIM itu berlangsung selama 12 bulan bermula Januari hingga Disember 2025 dengan objektif utama membantu usahawan mengembangkan lagi rangkaian perniagaan diusahakan mereka.
“Menerusi Program Tunas Perintis Usahawan MAIM-SME Corp ini seramai 29 usahawan bimbingan Zakat MAIM menerima geran perniagaan yang keseluruhan berjumlah RM350,000.
“Program dipantau oleh SME Corp dan MAIM selama 12 bulan, menerusi inisiatif seumpama ini ia dapat membantu lebih ramai usahawan asnaf mengembangkan potensi perniagaan mereka, sekali gus meningkatkan taraf hidup serta sosioekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bilangan 1, Tahun 2025, di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halem Tawil dan Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad.
Menurut Ab Rauf, keberkesanan pelaksanaan inisiatif pembangunan asnaf yang lebih berstruktur seperti Program Tunas Perintis Usahawan MAIM-SME Corp menyumbang kepada status Melaka kekal mencatatkan sifar miskin tegar tahun 2024.
“Melaka masih lagi kekal mencatatkan sifar miskin tegar 2024 dan saya amat berharap pencapaian ini terus dikekalkan tahun ini dan masa akan datang.
“Malah saya yakin, dengan adanya inisiatif sebegini ia akan membantu lebih ramai usahawan asnaf mengembangkan potensi perniagaan mereka,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri turut menyempurnakan gimik pelancaran Pelan Induk Transformasi Asnaf (PINTAS).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.