29 premis dan kilang ditutup akibat peningkatan kes COVID-19
AYER KEROH 11 Julai – Sebanyak 29 premis ditutup sementara dalam tempoh dua minggu bermula 26 Jun hingga semalam bagi membendung penularan COVID-19.
Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengarahkan premis dan industri yang mempunyai peningkatan kes positif ditutup selama 14 hari.
Katanya, tempoh penutupan adalah bergantung kepada penilaian risiko dibuat agensi berkenaan bagi tujuan mengawal, melakukan saringan dan proses vaksinasi dalam kalangan pekerja.
“Berdasarkan rekod, enam premis ditutup di daerah Melaka Tengah kelmarin, manakala lima premis lagi ditutup di daerah sama dan satu di daerah Jasin, semalam.
“Dalam tempoh dua minggu iaitu bermula 26 Jun hingga semalam, 29 premis ditutup iaitu 20 di Melaka Tengah, lima di daerah Alor Gajah dan empat di daerah Jasin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Rahmad, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berusaha untuk menangani kes COVID-19 termasuk menjalankan penguatkuasaan dan saringan di kawasan penularan wabak.
“Bagi kawasan wabak dan sektor yang mempunyai kes tinggi dikenakan perintah penutupan premis dan saringan kepada semua pekerja seperti dilakukan di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh.
“Kita sudah menjangkakan akan berlaku peningkatan kes tinggi buat sementara waktu dan akan kembali normal semula selepas proses itu (penutupan dan saringan).
“Susulan kes meningkat kepada 835 semalam adalah terdiri dalam kalangan pekerja asing industri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.