285 BUKTI BERKAIT AJARAN AL-ARQAM DITEMUI DI MELAKA
AYER KEROH 21 September – Sebanyak 285 bukti berkait ajaran Al-Arqam ditemui dan disita dalam satu serbuan yang dijalankan di seluruh Negeri Melaka, hari ini.
Antara yang ditemui adalah gambar Ashaari Muhammad, buku berkaitan Al-Arqam; jadual Zikir Aurad Muhammadiyah; serban Al-Arqam; diari catatan dan cakera padat berkaitan ajaran Al-Arqam, selain telefon bimbit, laptop, komputer dan lain-lain yang disimpan di 19 buah premis yang diserbu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan itu dilakukan menerusi Op Global yang bermula pada jam 5 pagi dan berakhir 5 petang tadi.
Katanya, ia membabitkan kekuatan seramai 72 orang merangkumi pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain.
Menurut beliau, antara yang diserbu adalah tiga buah rumah persendirian, dua rumah kebajikan dan 14 premis perniagaan di sekitar daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Dalam operasi itu, seramai 11 individu termasuk lapan wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun telah ditahan kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Al-Arqam dan memiliki bahan-bahan penerbitan berkaitan ajaran Al-Arqam.
“Kesalahan tersebut diperuntukkan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
“Selain itu, JAIM turut bertindak mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 dan Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rahmad, dalam serbuan itu juga, seramai 19 kanak-kanak telah diselamatkan dan dibawa ke rumah jagaan JKM Negeri Melaka.
Beliau menasihatkan kepada semua umat Islam di negeri ini agar menjauhi ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan melalui fatwa yang diwartakan di Negeri Melaka pada tahun 1994 dan 2006.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.