Sorting by

×

284 lokasi seluruh negara disanitasi besar-besaran – Zuraida

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Sebanyak 284 lokasi di seluruh negara disanitasi secara besar-besaran selama dua hari bermula hari ini, susulan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata operasi itu merupakan satu inisiatif kementeriannya melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain turut memfokuskan operasi di Selangor yang terus mencatatkan kes harian tertinggi.

“Tindakan lebih agresif harus diambil melalui operasi sanitasi awam ini termasuk kawasan perumahan, pasar dan sebagainya.

“Memandangkan Selangor menjadi tempat punca ekonomi negara kita, (operasi) ini adalah satu usaha yang kita harapkan akan memberi kesan untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19 di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sanitasi JBPM di satu daripada lokaliti zon merah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata bermula Mac tahun lepas hingga hari ini, sebanyak 25,252 operasi sanitasi telah dilaksanakan yang merangkumi 156 zon iaitu 120 zon merah, 14 zon jingga, 15 zon kuning dan tujuh zon hijau mengikut pengkelasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata setakat semalam, seramai 2,702 pegawai bomba telah menjalani saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, seramai 16 pegawai telah disahkan positif wabak COVID-19, 96 pegawai dikategorikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI), 89 pegawai di bawah pesakit dalam pengawasan (PUS) dan seorang pegawai meninggal dunia akibat wabak itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

317
Kongsi :
Previous post Lokasi ‘hotspot’ lengang
Next post Lebih 800 sekatan jalan raya seluruh negara mulai 1 Jun
Ubah saiz-+=