26 April sebutan semula kes dera dan bunuh adik Amir
AYER KEROH 29 Mac – Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini menetapkan 26 April depan sebagai tarikh serahan dokumen bagi kes ibu dan bapa tiri yang didakwa atas dua pertuduhan mendera dan membunuh anak lelaki mereka.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan timbalan pendakwa raya pada sebutan kes berkenaan hari ini.
Tarikh baharu itu dipohon bagi mendapatan laporan bedah siasat berhubung kematian Zubaidy Amir Qusyairi Abdul Malek, berusia enam tahun satu bulan.
Terdahulu pada prosiding berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan dan Hakim Nariman Badruddin, tertuduh Zuraida Atan, 31, dan suaminya, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, masing-masing mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mendedahkan Zubaidy Amir Qusyairi dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiaya dan diabaikan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah No 9 Jalan KJ 19, Taman Krubong Jaya, dekat sini antara 10.30 malam 13 Oktober tahun lalu hingga jam 3.32 petang 29 Januari lalu.
Pada 10 Februari lalu mereka dituduh atas pertuduhan sama mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, mereka berdepan pertuduhan lain iaitu melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kanak-kanak sama di rumah sama pada 29 Januari lalu, jam 3.32 petang.
Begitupun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama itu, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret Mazana Sinin turut menetapkan tarikh sama bagi serahan dokumen.
Terdahulu, Mohd Fadzli yang juga pemandu lori dan Zuraida, suri rumah, dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer sekitar jam 9 pagi dan turut kelihatan beberapa ahli keluarga mereka hadir bagi mengikuti prosiding kes.
Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan mengikuti kes di mahkamah terbuka itu dan diarah menunggu di luar.
Pada sebutan kes berkenaan hari ini pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad, Mazuin Hashim dan Intan Liyana Zainal Abidin.
Zuraida diwakili peguam Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman, manakala tertuduh lelaki pula diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.