2,504 pegawai dan anggota polis Melaka undi awal
HANG TUAH JAYA 15 November – Seramai 2,504 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, termasuk 12 mengalami uzur serta dijangkiti COVID-19 layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal hari ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, 24 pusat mengundi dibuka bagi Polis Kontinjen Melaka dengan 19 daripadanya beroperasi setakat jam 12 tengah hari.
“Bagi jumlah pengundi awal di IPK Melaka, seramai 860 orang; manakala di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, seramai 764; IPD Alor Gajah, 623 manakala IPD Jasin, 227 individu.
“Jumlah pusat undi awal pula, di daerah Melaka Tengah 11 , Alor Gajah, sembilan dan di Jasin pula empat,” katanya.
Beliau berkata, seramai 51 pegawai dan anggota PDRM turut membantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di setiap saluran pusat mengundi.
Sementara itu, Zainol berkata, bermula 5 November lalu hingga hari ini pihaknya menerima 10 laporan polis berkaitan salah laku dan khianat.
“Bagaimanapun, daripada jumlah laporan diterima itu, hanya lima dibuka kertas siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Justeru saya menasihati supaya orang ramai sentiasa mematuhi dan menjaga tingkah laku sepanjang tempoh ini demi keharmonian semua,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.