25,000 dijangka hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka, esok
AYER KEROH 28 April – Kira-kira 25,000 rakyat Melaka dijangka hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Negeri Melaka yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), esok.
Ketua Pegawai Eksekutif MITC Datuk Mohd Ariff Shah Abdullah Sani berkata, segala persiapan bagi meraikan kedatangan tetamu pada majlis itu sudah siap 95 peratus termasuk kemudahan fasiliti, utiliti dan hiasan.
“Untuk esok kita jangkakan kedatangan tetamu antara 25,000 hingga 30,000 orang akan datang yang mana majlis akan bermula pada jam 10 pagi dan berakhir selewat-lewatnya pada 4 petang.
“Segala persiapan secara umumnya sudah siap 95 peratus, yang tinggal hanya sedikit lagi untuk kerja-kerja tambah baik termasuk menggantung kain rentang dan gegantung untuk menceriakan lagi suasana dewan.
“Selain itu, kita turut memastikan keadaan tandas berada dalam keadaan bersih selain bekalan elektrik dan pendingin hawa berada dalam keadaan baik tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Mohd Ariff Shah yang juga penyelaras program berkata, beliau percaya dengan persiapan dan konsep yang ditampilkan pasti akan memberikan suasana serta momen yang indah buat tetamu yang datang ke rumah terbuka itu.
“Konsepnya amat berbeza berbanding penganjuran sebelum ini yang mengetengahkan elemen tradisional apabila tahun ini kita pilih konsep taman kontemporari.
“Kita bawakan bunga-bungaan dan juga flora fauna bagi memberikan rasa damai alam semula jadi.
“Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyiapkan beberapa laman antaranya Laman Rafflesia dan Laman Gasing yang setiap satunya pasti akan menampilkan suasana tersendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.